Cinta Terindah


Dulu aku menidakkan cinta walau yang hadir cuba untuk menggoda. Aku ingin melindungi diri suciku dari belaian manja seorang pujangga Malaya. Ku cuba sekeras menahan kelembutan jiwa dari merasuk gangguan asmara dan kau perlu tahu itu bukan satu hal yang mudah. Aku juga wanita yang ingin dibelai dan membelai walau ku tahu belaian itu bukan satu sentuhan yang murni. Beribu detik aku cuba menahan dan pendam niat kasih dengan hanya berbekalkan bantuan rasional tapi kedegilan masih menyinggah dengan kehausan yang dianggap simpati.

Jujur kesucian itu adalah kebanggan hidup ku sebagai “iffah” yang beerti terpelihara suci dan sungguh ku berjihad semata untuk gapaian gelaran mawar berduri. Hari demi hari, saban waktu bertukar tahun aku masih sendiri. Konon rasa diri warak dan alim walhal dalam jiwa membuak ingin melahap cinta sejati. Memperlihatkan kejamnya dunia dengan pameran indah puasan nafsu mengetuk dinding iman untuk tunduk sebentar seakan ingin menyerah. Tapi bukan semudah itu, kerana aku masih “iffah” wanita senyap kaku tunduk dari tergoda melihat hebatnya susuk bernama syabab. Quran masih digenggam, Sunnah masih diamal agar tak lari garis dan panduan.

Di tengah kota, aku mencari dan menggali untuk kuatkan semarak ilmu yang ingin di bekal di alam realiti dan selepas mati. Tanpa melihat gangguan aku cuba bekerja menggerak seluruh fungsi dengan tujuan satu kecemerlangan dan aku berbangga dengan kepuasan itu. Walau jiwa selalu berontak menagih pujian dari lelaki tetapi aku gagahkan diri untuk berdiri tersenyum dengan hanya tepukan tangan kecil ku ini. Cukup dengan lambaian kasih ibu dan ayah serta pembakar dari kawan yang sentiasa di sisi. Bukan tidak cemburu, tetapi penat melayan hati untuk termenung menadah pada benda yang tidak hakiki. Itu yang aku cuba berteriak pada sanubari.

Konflik ini memang payah untuk dihapus kerana perasaan sering berlegar berlawan sesama sendiri demi mencapai kata putus yang bercanggah dari persepsi idealistik yang lahir dari dua identiti. Aku dihadirkan dengan kewujudan dia pelengkap kehidupan yang dulunya sunyi sepi. Bermula dari seorang kawan, dia ceburi setiap pengalaman dari hidup aku, membuat kita seakan bersatu. Luluh hati seorang wanita yang utuh, hanya dengan rasa simpati yang dicurah ditambah gamitnya perasaan ingin dimiliki. Sampai aku lupa dengan perjanjian yang dimetrai pada suatu ketika untuk sentiasa suci dalam penjagaan yang menjauhi semua ini. Aku lupa…

Sungguh berani aku pamerkan diri dihadapan dia dengan harapan perasaan ini kau dapat nilai dan ambil untuk jadikan teman. Bermalam malam aku menjaga menunggu katamu yang tidak kunjung tiba seakan masih samar dengan perilaku yang sudah buih ku ucapkan. Betul aku tidak zahir kerana aku masih punyai peribadi malu mencari kumbang bertandang di bunga untuk kemekarannya. Lantas aku berdoa agar Tuhan melintaskannya di kalbumu. Jangan sangka aku tidak menadah dan bersujud, kerana berjuta aku pohon agar Allah restui tetapi jawapan itu tidak mungkin terjadi.

Suatu hening malam, seperti biasa kita berkelana di alam maya untuk menghibur kepenatan dunia yang kita saling kejarkan untuk perjuangan hidup masing-masing. Aku pujimu dan kau pujiku sehingga perbualan kita merehatkan minda serta kerahan fizikal yang dilalui seharian. Teringat saat kau mencemburui aku akan kehidupan yang akan datang padahal kau tahu, wanita itu bersifat setia yang tidak mampu diterima waras akal. Mungkin tidak semua, tapi pasti untuk aku. Dan disebabkan itu, dengan tiba-tiba terucap lamaran dari mulut sendiri menyata malu bahawa “aku suka kamu”.
Kau terdiam menidakkan ya untuk kesudahan malam, cukup membalas dengan santunan merdu petikan gitar yang mendodoi kupingku sambil badan yang sudah melabuh untuk perjuangan esok. Kalau kau hendak tahu, itulah perkara yang memalukan sepanjang hidup aku yang sanggup di relakan dari diri ini untuk meluahkan betapa aku ingin kita bersama walau sekadar dalam ikatan pertipuan. Dari pandangan yang jauh, kau berkata setuju membuatkan sepanjang hari aku tersipu-sipu. Semua ini semakin melarat sehingga memukau dengan perasaan rindu yang bergetar di hati dek tidak bertemu. Setiap hari, aku menabung rindu dengan harapan kau datang untuk menemuiku, tetapi ia menjadi harapan palsu.

Beribu alasan kau campak dan berjuta kesibukan kau suap tanpa belas pada wanita yang jauh menunggu. Rindu ini kau hina dengan penolakan yang kau anggap biasa. Aku tidak mahu mengongkong malahan ku pelajari. Setiap perilaku yang kau tunjukkan menguji kesabaran dan seakan menyiat-nyiat nurani dalamanku. Sejadah kecil sahaja yang tahu kisah pemergianmu di ratap dengan lambakan banjir yang tak tegar untuk menerima. Acap kali aku berdoa, agar cerita kita seperi masa lalu tapi mungkin doa kau yang Allah makbulkan untuk berpisah tanpa jodoh yang bertemu.

Ternyata berita keji ini bukan mimpi ngeri tetapi realiti hempedu yang terpaksa aku telan. Ku percaya semua ini telah ditentukan dan merupakan suratan yang terindah dari-Nya. Apa yang perlu aku lakukan, adalah fahami makna dan tujuan setiap apa yang terjadi. Tangisan yang lalu aku keluarkan segalanya supaya masa depan aku semuka dengan rasa yang lebih perkasa tanpa ketakutan. Aku cuba bangkit untuk elak musuh kegelapan kerana aku tidak layak untuk itu. Biarlah punah segala panjian puitis yang ku bina kerana semuanya dikarang dari jiwa yang mengharap cinta boneka dan pasti bukan tulen. Aku tidak kesal jauh lagi marah, kerana aku anggap ini hadiah yang bermakna sebagai pedoman dan ibrah.

Hari ini, aku mengisi tulisan sambil menghadap wajah si dia bersama kemanisan si hawa disisi. Indah bagiku walau robek di hati. Ku tatap untuk mengimabau kembali bukan untuk dimarahi tetapi sebagai petunjuk untuk tulisan ini. Jangan mengata aku sedang meluah kerana maksud aku hanya berkongsi supaya hidup lebih bermisi. Ikhlas dari hati, aku sudah kembali sebagai “iffah” dan aku bahagia melihat kau bahagia bersama cantiknya permata yang bertutup. Maafkan aku jikalau dulu kau mengharapkan aku permata itu, tetapi aku tidak mampu kerana itu bukan mainan yang boleh aku pakai dan tutup begitu. Riangnya dengan kehadiran senyum yang kau tunjukkan, sedarlah aku bahawa hidupmu sudah terlaksana kebahagiaan dan sungguh aku senangi itu.

Walaupun sekejap sahaja kau pinjam hatimu untukku tapi itu sudah cukup untuk merasa betapa indah dan peritnya kisah bercinta. Jangan takut, aku tak pernah serik cuma berhati-hati untuk melakar cinta yang kedua. Yang kedua mungkin juga tak sempurna tapi pasti itu penghujunya kerana aku tak sanggup melibatkan diri dengan permainan membabi buta. Biarlah seribu tahun aku terpaksa tunggu insan yang setia sebab itu lebih bahagia. Aku bersyukur dengan perjalanan hidup ini, kerana perincian darinya aku belajar tentang kehidupan. Untuk insan yang pernah derita, jangan pernah berundur mengangkat tangan untuk hadapi keindahan dan kemanisan, kerana satu sahaja yang perit yang lain pasti suka dan ceria. Carilah kebahagiaan dan buktikan pada masa lalu bahawa kamu sudah berubah dan menapak kehadapan, jalan dengan kemegahan doa dan ucaplah terima kasih.

Jangan tergoda dengan panggilan nafsu sebab itu semua menyakitkan dan terkadang susah untuk dilepaskan. Sabarlah dalam menunggu yang halal sebab itu lebih suci tanpa keruhan yang terpakai. Andai kita sudah terlanjur, balik kembali dengan perapian yang lebih telus dan percayalah pemilihan yang tepat itu akan datang pada waktu-Nya. Jika Rabbi sedang menunda, pasti Dia sedang menyiapkan yang lebih indah yang tak mampu kau katakana sesuatu. Sungguh Dia sebaik-baik penentuan.

Rencana Allah untuk aku menjaga iman lebih mulia dari berhadapan dengan suasana berpasangan yang kau nampak mengiurkan. Aku yakin dengan ujian Allah dan tak pernah sekali berhenti merintih mengharap yang datang lebih baik untuk masa hadapan. Dan setiap kali duka itu singgah, aku luahkan, “Dekatkan aku dengan jodohku, dan jauhkan aku dengan yang bukan milikku” ketetapan-Nya itu pasti, akan ku tunggu busyra itu dengan sakinah.
Terima Kasih.
.



Comments

Popular Posts