Panggilan Iman



Ku toleh ke kanan ku toleh ke kiri,ku pandang hadapan, ku pandang belakang,pupil mataku melihat dua kujur tubuh yang saling kasih mengasihani,cinta mencintai dan rindu merindui.Hatiku beku,tidak dapat menilai samada cinta itu tulus atau lakonan,benar atau palsu tetapi hatiku terasa kosong kesunyian.Jiwaku berombak pilu tiada daya mampu ku henti.Air-air jernih terus mengalir dari mata jatuh ke pipi deras ke lesung pipi wajahku.Terdiam ku seketika untuk berfikir apa maksud disebalik kepiluan yang melanda.Adakah aku cemburu,dengki atau nafsu dalam diri melonjak untuk bebas daripada penjara iman.Ku sedari,ku akui kesemuanya wujud dalam satu rasa di hati.Perasaan ingin dicintai dan mencintai,dirindu merindui dan dikasih mengasihani menjerit-jerit di kuping ku untuk bertindak mengalami kenikmatannya.

Wahai pemilik hati,maafkan daku kerana bukan Kau yang di maksudkan dalam coretan ku, tetapi kasih sayang daripada seorang manusia bernama lelaki.Seumur hidupku ya Allah, ku pendamkan rasa hati untuk lalui cinta ini.Ku tahan segala nafsu durjana yang cuba menghanyut aku masuk ke jurang asmara ini.Kepayahan untuk mencintai Hanya Yang Esa terkadang membuat jiwaku robek dan jasadku lemah kerana fitrah dijadikan adam untuk hawa dan hawa untuk adam.Terkadang sang akal berbisik padaku cinta yang suci adalah cinta seorang suami pada isterinya dan sebaliknya.Cinta tanpa ikatan hanya cinta mainan syaitan yang menghasut kita ke arah darjat yang keji dan hina.Ilmu diakal sahaja tidak cukup badang untuk mengangkat pergi perasaan ini buang dari hati murni.Tempoh yang panjang jiwaku keseorangan menguatkan rasa  untuk mencari kekasih hati sebagai teman dikala virus sunyi menular.Ku bayangkan dalam bayangan akal ku keindahan-keindahan yang bakal meyelimuti jiwaku tatkala daku bersamanya.Hangat sentuhannya jatuh lembut keatas kulit tangan ku persis kejutan elektrik yang membakar seluruh jiwaku hingga bertukar cecair.Di saat itu aku merasai syurga dihadapan aku,tiada yang lebih indah daripada melayari perasaan ini.

Gelombang-gelombang indah daripada mulutnya bertemu setiap puncak memanah tepat hatiku,bagaikan aku sang puteri untuknya. Matanya meminta-minta supaya cahaya terus menerangi ku supaya wajahku tidak hilang daripada pandangan matanya.Perasaan ini yang ku dahagakan selama 18 tahun aku hidup sebagai makhluk terbaik ciptaaNya.Jangan melabelkan aku sebagai wanita yang kekurangan kasih sayang kerana keluargaku sudah hampir sempurna dalam hidupku,tetapi aku adalah wanita yang tamakkan cinta untuk memiliki kehidupan yang lebih sempurna seperti insan lain.Perhatian dan kasih sayang seorang adam yang bukan mahram melengkapkan lagi kehidupan aku yang selama ini ku biarkan sunyi sendiri.

Nurani ku berbicara cukup sekali biarkan daku bersama mu walaupun seketika,cukup sekali biarkan jari-jemari ku melekat pada jemari mu walaupun sesaat,cukup sekali aku mendengar panggilan mu memanggil namaku walaupun perlahan kerana setiap itu sudah membuatkan jantungku berdegup laju “lab dap,lab dap,lab dap……”.Baru ku ketahui mengapa sahabatku,temanku dan saudaraku cukup asyik melayari kehidupan seperti ini sehingga lontaran nasihat ibu bapa diabaikan.Ibu bapa tidak memahami jiwa remaja yang sedang bergelodak kencang.Mereka hanya gemar berkata lancang memarahi  tanpa memberi penjelasan yang terang.Maka bila api bertemu api,tiada apa yang lebih dahsyat berbanding letupan di Hiroshima. Segala pengorbanan ibu bapa, mata hati tidak dapat melihat kerana semuanya menjadi zarah yang halus.Percikan air yang datang di hujung waktu juga hanya membuang garam dilautan dikala jiwa sedang dimiliki.Segala drama bermain di benak minda,cinta dihalang oleh orang tua,ayuh perjuangkan cinta  ini.Kekuatan ikatan dua jiwa mana mungkin dapat dileraikan dengan mudah,oleh itu teruskan untuk membina ikatan dan simpulan yang lebih kuat.Sedang mindaku melayan manisnya cinta dua insan,bibirku terukap satu ayat.Tidak ku sedari mengapa bait suci ini higgap di mindaku lantas mencuit sanubariku.Ku ulangi dan ayat itu terus bergema bagai lontaran yang terlontar di bilik kosong,bukannya studio yang kedap suara.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi kamu,dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu ,padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah mengetahui,sedangkan kamu tidak mengetahui’’

Ku celikkan hati dan fungsikan akal ku untuk melihat disebalik ayat 216 daripada surah al-baqarah.Simbol tanda-tanda soal terus berlegar di ruang mindaku.Adakah perasaan yang ku impikan ini cukup baik buatku atau sebalik nya.Wahai pencipta ku Yang maha Mengetahui,tunjukan daku jalan lurusmu Mu.Ku tidak memiliki GPS yang canggih untuk sampai ke tujuan yang satu yakni syurgaMu.Selamatkan ku daripada jatuh ke jurang neraka.Jangan kau biarkan ku tergelincir ketika meniti titian sirratul mustaqim kerana ku tak mampu menghadapi azab keperitannya.

‘’Berpeganglah pada quran dan sunnahku,maka kamu tidak akan sesat’’

Renungan hadith ini mempercepatkan hati untuk bertindak menerima teguran iman sebelum nafsu mengambil alih dan menguasai semula.Wahai Allah yang satu,ku tak sanggup kehilanganMu kerana si dia,ku relakan perginya rasa ini untuk mendakap redhaMu.SyurgaMu lebih indah daripada segala keindahan yang ku impikan.SyurgaMu satu kenikmatan yang tidak akan pernah dijangka serta dibayangkan oleh akal manusia.Sememangnya perasaan cinta yang hadir di lubuk hati tidak boleh dihapuskan dengan mana-mana pencuci kerana fitrah ku sudah tercipta oleh Sang Pencipta.Justeru,ku membeli pencuci nafsu untuk membuang segala episode-episode yang mengidamkan berpegangan tangan, bermanjaan dan bersentuhan kerana aku milik-Mu.Segala istilah couple yang pernah wujud ku hapuskan dengan pH asid yang tinggi agar terhakis menjadi debu untuk diterbangkan jauh dari pandangan.Biarlah hati dan jasad ini menjerit perit menahan penjara dunia daripada terbakar di penjara akhirat yang tak mampu ku lalui seksanya.Pandangan jernih yang teraut di wajah ibu bapa ku turut mengangguk setuju dengan kematangan akal ku bekerja.Dua hati memang susah untuk dileraikan tetapi hubungan darah yang wujud dalam badan mana mungkin boleh ku ubah walau bumi hancur dan dunia di penghujungnya.Cinta suci ini akan ku pelihara untuk si dia yang bakal bersalamam dengan wali ku mengangkat nikah untuk menjadikan aku sah sebagai isterinya.Kejutan di fasa perkahwinan ingin ku rasa dengan hati yang teruja  kerana usia mudaku tidak hadam dengan rasa ini.Kesuraman yang melanda hidupku dulu menunjuk erti syukur akan cinta yang terjaga ini kerana dunia yang malap akan bertukar terang.

Ku serahkan hatiku kepada pemiliknya supaya Dia menyimpankan cinta ini semata-mata untukNya.Bukti ini akan ku bawa bersama-sama sebagai ‘’acsess card’’untuk aku masuk ke gerbang syurga.Ku yakin dengan menghias cinta suci ini pasti kesegarannya berkekalan kerana sandaranku pada zat yang Maha kekal.

Kepada teman-teman adam ku,jangan kau rampas hati ini semata untuk puaskan nafsu serakah mu.Jadilah pelindung untuk si hawa supaya kita dapat mengenggam erat di syurga Firdausi nanti.Ku akan sediakan ruang di akal untuk sentiasa berfikir menjadi teman yang baik sehidup semati, isteri yang solehah bebas daripada sentuhan maksiat dan cahaya rezeki yang kelak kita bimbing sebagai penjaga agama.Percayalah wahai imam ku,dua hati ini perlu kita jaga sebelum hari yang telah ditetapkan olehnya yang mana jodoh kita disatukan,dan izinkan daku untuk menjadi ketua bidadari di syurga mu nanti.Harinya pasti akan tiba.

Sebelum rahsiaNya terbongkar izinkan aku mengabdikan diri ini kepada yang Esa.Sebelum aku menjadi suri mu izinkan aku berbakti kepada ibu bapa ku agar zuriat yang bakal kita hasilkan memberi yang terbaik untuk kita.Jangan risau wahai kekandaku,di waktu-waktu ini aku sedang mempersiapkan segala senjata untuk menjadi  wanita yang dihiasi dengan akhlak mahmudah dan ku mengharapkan sebegitu daripadamu.Tidak sekali pun ku benarkan kumbang lain hinggap di hati ini melainkan mu,moga kau juga begitu.Akan ku jaga pandangan mataku daripada melihat benda-benda maksiat dan ku rayu agar kau juga sebegitu.Sesungguhnya,perempuan yang baik untuk lelaki yang baik.Moga kita disatukan atas dasar iman dan taqwa.

Tatkala ku kesunyian, pada Allah tempat aku mengadu dan merintih agar dikuatkan hati ini.Tatkala aku kebosanan ayat-ayat sucinya ku basahkan di bibir agar rohani ku kenyang dengan cahaya iman.Aku tidak sanggup masa ku terbuang dengan sia-sia seperti sumpahNya dalam surah Al-Asr.Sungguh sekarang ku mengerti kepentingan untuk daku mengekspresikan cinta ini pada Allah agar waktuku,hatiku,anggotaku dan semuanya menjadi hakNya.Aku sebagai peminjam sekadar melaksanakan dan menjalankan mengikut panduan yang diberikan.
‘’Kitab(al-quran)ini tidak ada keraguan padanya;petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.’’
Ayat yang ringkas dan padat dari surah baqarah ayat 2 ini, cukup menarik perhatian organ jantungku untuk terus mengepam darah hingga ke otak , berfikir untuk menjadi hambaNya yang bertaqwa.Malangnya,akal ku tidak mentafsir maksud disebalik taqwa lantas membuat mindaku kebuntuan.Sepantas kilat tangan ku mencapai alat komunikasi jenama daripada China untuk berhubung dengan Mr.google,bagaikan terkena tindakan refleks.Terpapar dalam skrin berukuran 480*854 tulisan Ustaz Noramin bahawa taqwa berarti menghindari diri dari segala hasrat biologis(syahwat).Menjalankan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.Neuron-neuron ku mula berhubung antara satu sama lain,menyebabkan ku teringat akan penyampaian ilmu murabbiku tiga tahun dulu. Jejaka arab kelahiran  mesir pernah meyampaikan bahawa taqwa adalah sikap berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan agar kita tidak terjunam ke jurang kehinaan.Suaranya yang lantang memaksa kuping ku untuk mendengar setiap baitnya.Beliau menceritakan bahawa seorang sahabat bernama Umar Al-khatab pernah bertanya kepada Ubay bin Kaab mengenai taqwa.Ubay berkata, ‘’pernahkah kamu berjalan di suatu jalan yang dipenuhi dengan duri?’’ Umar menjawab, ‘’ya’’ Ubay bertanya lagi, ‘’bagaimana kamu melaluinya?’’ kata Umar, ‘’aku berhati-hati ketika melaluinya dan bersungguh-sungguh. ‘’Lalu Ubay berkata, ‘’itulah yang dinamakan taqwa” ku bersyukur pada Dia yang telah menciptakan akal di mana mampu menyimpan pelbagai maklumat tanpa batasan sehinggakan aku tidak mengetahui berapa G atau GB keluasan yang mampu otakku menyimpan.
Punca hatiku kesunyian adalah kurangnya perhubungan diantara makhluk dan penciptaNya.Tidak semestinya bunga yang sentiasa dihinggapi kumbang akan mekar malahan akan rosak dek dimakannya dengan rakus tanpa belas dan ihsan.Ku perbanyakkan komunikasi denganNya walau mata tidak melihat.Ku hadirkan seluruh jiwaku tatkala dua belah tangan bercantum agar Dia sentiasa dekat,sedekat urat leherku.
Hipotesis yang boleh ku ungkapkan dalam hidupku semakin banyak ku memberi padaNya semakin banyak yang bakal ku dapat daripadaNya.Mungkin kehidupan ku pada waktu ini perit menahan nafsu,sakit melawan arus maksiat tetapi ikatan iman ku  terus terikat pada agama Allah yakni islam yang menjanjikan kesejahteraan buat hamba yang bergelar muslim.Kesengsaraan ku akan digantikan dengan kenikmatan dunia dan akhirat,seperti firmanNya dalam surah baqarah ayat 25;
Dan sampaikan khabar gembira kepada orang-orang beriman dan berbuat kebajikan,bahawa untuk mereka (disediakan) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga,mereka berkata,’’inilah rezeki yang diberikan kepada kami dahulu. ‘’Mereka telah diberi (buah-buahan)yang serupa.Dan disana mereka( memperoleh )pasangan-pasangan yang suci.mereka kekal di dalamnya.
Wahai hati yang sedang berduka lara,bersabarlah dalam menanti pasangan terbaik yang telah dijanjikan Allah.Ku akan bersamamu bukan sahaja di bumi yang sementara bahkan peneman setiamu hingga di syurga yang kekal abadi.Jangan mendekatiku sehingga jodoh kita menyeru.Cukuplah Allah bagiku saat ini.Dalam sujud,ku rintih agar Dia aturkan masjid yang kukuh dan konkrit untuk kita.Amin..

Sekian…….
Tulus ikhlas ku coretkan buat bakal kekandaku,……….

Comments

Post a Comment

Popular Posts