Dia Seorang Ibu



Hangat sentuhannya memberi geseran lembut atas kulit tanganku menyebarkan seluruh haba hingga ke jantung.Setiap kadar denyutan dan nadi melafazkan tanda penghargaan atas pengorbanannya untuk melancarkan setiap gerakan.Aku tatap wajahnya dikala marah,sedih,susah dan senang.Tiada tempat untuk hati berkongsi melainkan di hati seorang yang bergelar ibu.

Ya,aku seorang remaja yang memiliki seorang ibu yang cukup sempurna.Penampilannya cukup bergaya dan lagaknya amat berkeyakinan.Setiap inci menjadi ukuran menyebabkan bebelan sentiasa singgah di cuping telingaku.Paling hati ini tidak mampu berdegup dengan tamparan kata yang dilontarkan ibarat panah yang menuju tepat pada sasaran.Terkadang bukan panah tapi letupan bom yang aku sendiri tidak boleh mencari jalan keluar untuk selamatkan diri.Inilah kehebatan semangat wira insan bergelar ibu.

Disebalik bayang diri yang karisma,tercalit di hati nuraninya pokok semalu.Sangat sensitive dan berjiwa lembut.Karakter ini mana mungkin dilihat oleh pandangan zahir tetapi mata hati ku mula berbicara,siapakah insan yang memaksa diri bersekang mata di pagi hari semata menyiapkan bekalan isi perut untuk permata hatinya selain ibu.Siapkah manusia yang selalu runsing akan perihal anaknya hatta gigitan nyamuk selain ibu.Dan siapakah yang sujud penuh penghambaan kepadaNya untuk memohon agar keluarganya sentiasa di bawah rahmatNya kalau bukan ibu.Silap untukku jika tidak mengetahui keajaiban doa ibu hingga linangannya dibazirkan untukku di bawah kain sejadah miliknya.

Setiap kali hatiku dirundung awan kelabu dia terus memanggil hujan taufan untuk menyeksaku.Dia biarkan aku hidup penuh dengan ketabahan dan kekuatan agar nikmat pelangi menjadi hiburan di kemudian.Aku rasa bersalah melalui fasa pemberontakan ini.Ianya, telah mengguris hati ibuku tanpa sifat rendah diri yang muncul lantas menyebabkan antagonis yang wujud dan lahir.Sejujurnya, aku mahu pendamkan di cekerang lautan hingga menjadi debuan pasir  tapi angkuh menjadi ketua yang memberi arahan agar muncul untuk bebas bertindak.Rasaku hendak memanggil iman untuk bantu hati menggari nafsu,malangnya kunci tidak berapa kuat untuk bertahan lalu terkandas menyerang.Ampunkan daku ibu.Ampunkan setiap butir kata lantang yang aku ucapkan.Ampunkan setiap hentakan kakiku  yang ingin menunjukkan sifat jahat protes,dan ampunkan wajah yang selalu memuncung tanda tidak serasi dengan arahanmu.

Setiap tingkah buruk aku kau balas dengan hadiah.Kau beri butir bicara yang indah buat hati walau pedih di dicuping.Langkah mu tiada henti memberi sebaik dan sesempurna mungkin semata demi aku dan wajahmu memberi nikmat syurga  untuk mata ini terus menatap mu.Terima kasih ibu.Jasa mu mana mungkin dapat ku ganti.Aku berharap agar Dia memberi aku kekuatan untuk menjaga serta membelai mu hingga kedutan di kulit mu timbul,di saat lutut mu tidak mampu bertahan dan dimana pandangan serta pendengaran mula bertindak lemah.Di waktu itu ibu,aku di sini sentiasa di samping mu, maka buanglah segala tanda kerisauan yang mula menjengah di sanubarimu.Mungkin aku tidak sempurna tapi percayalah aku sangat menyayangimu.Ya Allah,jangan sekali kau runtuhkan rasa kasih ini,utuhkannya walau dipukul dengan segala ujian dan rintangan kerana aku tak sanggup digelar durhaka.

Wahai ibu,ratu hatiku.Hidup ini penuh dengan pancaroba hingga terkadang aku semakin lemah untuk menghadapinya.Dengan itu,aku hanya merayu padamu untuk selalu mendoakanku di setiap akhir sujudmu kerana aku juga begitu.Berdoa di setiap malam-malamku untuk kebahagiaan dan kesihatanmu.Sungguh aku percaya pada hadith yang disampaikan oleh Rasul iaitu Muahammad S.A.W yang membawa maksud,

Tiada benda yang kekal,melainkan amal jariah,ilmu yang bermanfaat serta doa anak yang soleh.


Ku pahatkan kasih sayang ini di lubuk hatiku agar menjadi bukti dalam kiraan amalanku.Dan aku sedar setiap peningkatan usiaku, maka meningkatlah jarak bayang mu dalam kehidupan ku tapi ingatan aku tidak pernah luput bahawa akulah anakmu.Akulah insan yang keluar dari rahim mu hingga menyebabkan banyak urat-uratmu bercerai antara satu sama lain.Akulah yang menganggu setiap nyenyak tidur mu dengan pekakan tangisan dan akulah manusia yang mengalirkan jernih air matamu di setiap kesedihan dan kegembiraan.Jangan menangis lagi ibu,kerana mataku sangat terseksa dan perit menahan takungan air,melihat mu dalam kesedihan.Moga tangisanmu menjadi pembakar api neraka dan penghidup syurga utukmu.

Coretan ini yang hanya mampu mengungkapkan rasa hati di jasadku,kerana lidahku tidak manis berkata-kata.Cukup untuk sekadar kau tahu bahawa,
I LOVE YOU…….

Comments

Popular Posts